.
RSS

Friday, April 18, 2008

Dari Langit

Lukisan abstrak di dinding belakang itu aku tenung lama-lama. Cuba mencari titik ulangannya. Aku percaya, tiada satu pun benda di dunia ini yang abstrak. Semuanya hanya penipuan mainan bagi minda yang kurang peka. Abstrak itu sebenarnya hanyalah corak-corak tertentu yang telah disusun supaya kelihatan rambang. Kerana kononnya rambang itu abstrak. Rambang. Abstrak. Tidak tentu hala. Apapun perkataannya, kita manusia memang suka pada sesuatu yang tidak tentu dan tidak pasti. Yang semestinya lebih mencabar daripada kebiasaan hari-hari. Begitu juga aku.

“Arman?!”

Bahu kananku langsung ditepuk kasar bersama teguran itu. Oh, aku kenal sungguh suara garau ini dan ia langsung mematikan seleraku untuk melihat lebih jauh ke dalam lukisan abstrak itu. Aku berpaling dan tersenyum tawar, “Megat, apa kau buat kat sini?”

“Aku tengah tunggu bini yang sorang tu. Mengada pulak nak makan restoran mahal malam ni. Kau? Tunggu siapa?”

Belum sempat aku menjawab soalan itu, mata lelaki berdarah melayu berwajah cina ini terus melirik kepada beberapa kuntum mawar putih yang elok tersampul dalam plastik merah ungu di bahagian kiriku. Seraya itu dia terus mengangkat sebelah keningnya, “Bunga? That's so not you! Tunggu Ratu, ya?”

Aku menatap wajah lelaki itu buat beberapa ketika, menimbang-nimbang jawapanku. Kemudian aku mengambil keputusan, apa lagi gunanya menipu. Lambat laun dia akan tahu juga. Semua orang pun akan tahu. Untuk setiap hutang air mata perempuan itu yang gugur ke bumi, sekurang-kurangnya boleh terbalas apabila seluruh dunia tahu. Dan mengerti. Langsung aku tersenyum lebar dan merasakan sudah sampai masanya aku meninggalkan semua beban ini di belakangku, “Taklah. Aku tunggu Lara.”

Terbelalak mata sepet cina Megat mendengarkan nama itu, “Apa? Kau masih lagi berselingkuh dengan perempuan itu?” Tanpa segan silu, dia menarik kerusi bertentang denganku dan melabuhkan punggungnya, “Aku tak faham. Apa yang kau nampak pada perempuan itu? Apa kurangnya Ratu?”

“Dan kau kira aku berhutang penjelasan padamu? Ini hidup aku, bukan?”

“Ya. Ini hidup kau. Tapi aku dah menjadi kawan kau separuh dari masa kau hidup. Sama juga dengan Ratu. Dah bertahun kita kenal bersama. Bertahun. Am I not entitled for a little bit of explanation?”

Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya kasar, “Okay, kalau itu yang kau mahu. Here's the first explanation. Aku dah tinggalkan Ratu.”

Aku melihat corak perubahan di muka teman rapat itu sambil menyembunyikan kegelian di hati. Kalau kami tidak berbicara tentang sesuatu yang serius atau mungkin di tempat lain selain restoran terkemuka ini, mungkin aku sudah terguling-guling tertawa. Mukanya berubah daripada terkejut kepada tidak percaya, dan kemudian skeptikal. Setiap kali ukiran wajahnya berubah, dia membuka mulut untuk berbicara tapi kemudian ditutup semula. Kalau anda pernah melihat seekor ikan emas sesak nafas, nah begitulah rupanya sekarang.

“Tak mungkin,” luah Megat akhirnya setelah beberapa kali membuka katup mulut, “Apa kata dia? Apa kata ayahnya?”

“Oh, dan ini penjelasan kedua. Aku dibuang kerja,” berita yang aku khabarkan padanya kali ini tidak berjaya memberikan rentetan reaksi seperti yang sebelumnya. Aku sedikit kecewa melihatkan dia kembali tenang menghirup semua kenyataan hidupku. Aku cepat-cepat menokok tambah penjelasanku tanpa diminta. Lebih baik biar aku yang bercerita, daripada dia yang bertanya, “Kau pun tahu betapa Ratu itu dimanjakan ayahnya. Kau ingat, setelah aku menghantar pulang puterinya ke depan pintu dengan mata bengkak-bengkak dan muka kemerahan, aku masih boleh menjadi orang kanan?”

“Eh tak acilah macam tu! Kerja kau tak ada kaitan dengan anak perempuannya.”

“Ini dunia batu kaca, Megat. Memang sifat manusia penuh dendam, bukan?”

“Habis tu, apa kau mahu buat sekarang?”

“Entahlah Megat. Kau tahu aku tidak betah hidup bertali leher. Bukan pejabat itu sahaja yang boleh beri aku makan,” aku mencapai cawan kopi yang separuh penuh di depanku dan membasahkan bibir. Ada sesuatu perasaan yang menendang-nendang pundi perut tapi tidak aku endahkan. Aku mesti kuat menghadapi ini. Ini serangan pertama dalam peperangan aku dan Lara. Dan untuknya, aku percaya aku sudah sedia untuk meninggalkan semua keselesaan duniaku sekarang, “Kau tahu, Megat. Dah lama aku tak sentuh kamera aku. Dah habis berhabuk dah.”

Megat tersenyum mendengarkan aku berkata begitu. Aku pun tidak pasti di mana lawaknya, “Kau mahu mengambil gambar semula? Aku selalu kagum dengan hasil-hasil lensa kau. Kan betul aku kata dulu, seorang perempuan tak akan dapat memisahkan kau dari minat itu.”

“Aku setuju. Tapi kau lupa. Perempuan yang menyebabkan aku putus asa pada minat ini jugalah yang akan membuatkan aku terjebak semula.”

“Lara lagi?” Megat mencebik, “Hurm. Suka hati kaulah, kawan. Asalkan kau bahagia. Eh, apa kata mak ayah kau? Diorang tak kisah?”

“Kau tahu bila-bila masa pun mak ayah aku lebih berat kepada Lara. Diorang cuma risau sebab anak mereka ini dah jadi penganggur sekarang. Aku pun patutnya berasa sedikit risau dan concern tapi kau tak akan faham betapa leganya aku bila terlepas dari genggaman Ratu dan ayahnya.” Selepas sahaja perkataan itu terlepas dari lidahku, perasaan yang menendang-nendang pundi perutku tadi pun turut hilang. Aku kira, keraguanku semua sudah rapuh dan tunduk pada kemahuan aku pada Lara. Sekarang, aku betul-betul bisa senyum lebar.

Tidak kurang lima minit kemudian, telefon Megat berdering dan menyelamatkan aku daripada terus dihujani soalan-soalan buta lelaki itu. Mungkin sekali itu isterinya, Tika. Baguslah. Aku pun sudah muak disoal bagai banduan. Megat bangun dan berlalu ke luar, mencari privasi. Aku pula mengalihkan pandangan pada gerbang tingkap yang mengisi hampir keseluruhan muka depan restoran. Restoran ini terletak betul-betul di bahu sebuah jalan utama. Pada kebiasaannya, jalan utama di luar itu penuh sesak dengan kenderaan dan orang lalu-lalang. Tapi entah kenapa malam ini lengang betul. Sampaikan sewaktu aku tiba tadi, secubit desir angin pun tidak kedengaran. Seluruh alam bagai menanti satu peristiwa penting terjadi. Aku harap aku terlibat sama dalam peristiwa penting itu.

“Arman!”

Tumpuan perhatian aku pada lenggok lampu jalan yang terbuai-buai di luar tingkap itu terus mati disergah. Sumpah. Aku tidak suka disergah.

“Ada orang nak terjun dari bangunan kat depan ni. Kau tak mahu tengok?” soal Megat cepat-cepat. Mukanya bercahaya dengan perasaan yang tidak dapat aku tafsirkan. Mungkin dia serba salah kerana ghairahnya lebih dari simpati. Aku pun tidak pasti. Yang pasti, aku sendiri merasakan begitu. Lidah aku yang sudah terlebih bersedia dengan himpunan sumpah seranah untuk kawan itu terus tersipu kelu. Aku tidak pernah melihat sesuatu seperti ini.

***

Kain putih yang membalut tubuh itu seperti terlalu biasa aku lihat. Aku melirikkan mata pada kuntuman bunga yang masih di bangku restoran itu sebelum mencuri pandang pada muka bulat jam hitam di tanganku. Tidak mungkin. Tidak mungkin sama sekali. Dia pasti tiba. Aku cuba memujuk diri sendiri dengan kata-kata kosong. Tetapi panahan kelibat kain putih itu lebih besar kuasanya dan ia mewujudkan kembali perasaan yang menendang-nendang perutku tadi. Tambah lagi seperti ada pula satu tangan asing mencengkam salur nafasku. Rasanya kalam kesedaran itu hanya tiba dalam sesaat dua, tapi bagiku bagai beribu tahun lamanya. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu percaya, aku tak boleh percaya.

“Arman, itu...” Megat bersuara antara dengar dan tidak di sebelahku.

“...Lara,” aku menyambung kata-kata itu, masih kurang percaya. Serentak dengan itu kelibat berbaju putih itu mendepangkan tangan dan terus melangkah ke depan, menjunam. Tanpa sedar, kaki aku terusan bergerak sendiri. Bagai orang gila aku menjerit-jerit nama dewi itu. Semua yang menghadang di jalanku aku tolak ke tepi. Ibu, anak kecil, nenek tua. Ke tepi dan aku tidak peduli lagi. Disela setiap jeritan, aku terdengar nama aku pula yang sayup-sayup diteriak satu suara garau. Aku tidak peduli lagi. Ya Tuhan, selamatkan dewiku.

Hampir sahaja aku selesai meredah kelompok-kelompok manusia yang tiba-tiba sahaja beribuan datang entah dari mana, lengan kiriku ditarik dan aku dipaksa masuk semula ke dalam kelompok mereka itu, “Apa kau mahu buat?” soal Megat sambil menahan nafasnya yang tercungap. Aku memandang muka yang separuh merah itu dan seakan-akan mahu menampar sahaja dia kerana masih tidak faham.

“Aku mesti selamatkan dia.”

“Kau gila?! Kalau dia jatuh atas kau, kau pun takkan selamat kau tahu tak?”

“Aku tak peduli, Megat. Kau tak faham! Aku sayangkan dia!” Tangan besar yang mencengkam erat itu aku leraikan secepat mungkin sebelum langkah kakiku terus menyusup semula ke garisan hadapan gerombolan manusia yang makin lama makin padat. Sesampainya aku di ruang kosong di tengah-tengah lingkaran gelanggang manusia itu, tubuh kecil Lara sudah lebih separuh jalan mencium tanah. Kain putihnya terhanyut ditiup angin. Ya Tuhan, apa yang patut aku lakukan. Ya Tuhan, berikan sayap buatnya. Ya Tuhan, selamatkan dewiku.

Aku melangkah ke hadapan dan ke belakang berulang kali, buntu. Dimana jatuh kamu, Lara? Kedua-dua tanganku diangkat dalam lagak cuba menyambut wanita itu. Aku memejamkan mata, cuba mencari mana-mana kekuatan yang tersisa. Kalau ada. Belum pun sempat aku membuka mata semula, tiba-tiba sahaja pinggangku ditarik ke belakang dan aku direbahkan ke tanah. Kepalaku ditekan tunduk dan penglihatanku terhalang. Serentak dengan itu, satu bunyi kuat menggegarkan dataran kosong itu dan sekaligus menampar kewarasan aku. Itu kali pertama aku mendengarkan bunyi itu dan aku berani bersumpah ia boleh buat sesiapa sahaja jadi gila. Andai sahaja kamu mendengarkan bunyi itu, kamu akan mengerti akan ngerinya. Apatah lagi aku yang tahu, bunyian itu menandakan rapuh hancur tulang belulang dan koyak rabak seorang dewi, milik aku.

Wednesday, April 16, 2008

Kepada Arman


Arman,

Dia tak mahu tinggalkan Lara. Dia tak mahu pergi dan hilang. Macam bayang-bayang. Lara tak tahu apa lagi yang perlu Lara buat supaya dia boleh sedar dan pergi. Lara dah cuba cakap elok-elok dengan dia, tapi dia berdegil. Malam minggu yang sudah, Lara terangkan pada dia. Tentang dia. Tentang kita. Tapi dia tak mahu terima. Dia kata Lara hanya bergurau senda. Esoknya dia datang lagi seperti selalu. Macam itu juga. Lara tak tahan. Lara tak ada kekuatan. Lara fikir bila Lara tunjukkan pada dia, dia akan percaya. Tapi Lara tak tahu kenapa dia tak boleh nampak tempat itu, batu itu. Dan dia masih tidak percaya.

Lara fikir, apa yang Lara akan buat ini mungkin akan menyelesaikan semuanya. Biar Lara berjumpa sendiri dengan Tukang Pengambil Nyawa itu dan minta dia berhentikan kerenahnya. Maaf. Lara tidak beritahu rancangan ini pada Arman. Lara tahu, Arman tidak mungkin akan beri Lara peluang mencuba jalan ini. Lagi pun, bahu Arman sudah cukup menanggung beban. Maka tak perlulah Lara beritahu Arman. Tapi Arman perlu percaya pada Lara. Ini satu-satunya cara. Bila dia akhirnya percaya tentang kita, Lara akan kembali.

Tunggu Lara Arman.

Tunggu Lara.


Lara.

Monday, April 14, 2008

Bisu

Pandangan aku yang kekaburan dibatas titis-titis air panas yang tidak sudah mengalir dari tadi itu langsung tidak memberi amaran tentang kedatangannya. Tiada senyum atau kata simpati pun terpacul dari bibir itu. Tajam lirik matanya sama dingin seperti kasutnya yang hitam berkilat. Ah, aku tidak peduli. Bukan simpati yang aku mahukan dari dia, malahan aku tidak mahu apa-apa pun dari dia selain daripada tinggalkan aku sendiri. Dia menyelak buku nota kecil berwarna biru di tangannya dan mengeluarkan pen, siap sedia untuk menulis. Seperti bisu aku tidak cukup memberikan kekuatan menolak. Sepertilah yang lain masih belum bertanya. Dan seperti luka aku masih belum cukup dalam padanya.

"Tolong beri kerjasama dan jawab soalan saya, Encik Rizal."

"Saya tak tau," jawabku lambat-lambat seraya menjilat bibir yang merekah sendiri, kekeringan.

Dia mengerutkan kening lalu mengetukkan pennya ke buku nota biru itu, "Tolong jangan buang masa saya Encik Rizal. Awak sendiri tak tahu kenapa tunangan awak bunuh diri? Susah untuk saya percaya."

"Saya tak tau, inspektor. Berapa kali saya nak cakap? Saya tak tau! If I knew, I would've prevented her from doing it, damn it!" Kesabaranku yang tadinya melingkar jalar akhirnya menguncup. Mahu saja aku tujah-tujah dahi wanita ini. Mengapa tidak dia katakan sahaja bahawa dia mahu aku mengaku aku yang menolak Lara. Gila!

"Baiklah. Mungkin saya memulakan ini dengan cara yang salah. Apa kata kalau kita cuba semula. Tolong ceritakan apa yang awak lakukan, bermula dari pukul 7 malam tadi sehinggalah awak bertemu dengan Cik Lara."

Aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba menghilangkan saki-baki sendu yang ada. Kalau pada kebiasaannya, mungkin aku akan malu sendiri bermata merah dan cengeng seperti ini, tapi malam ini ada pengecualian. Lagi pun bukannya saban hari tunanganku terjun dari tingkat dua puluh. Lebih dari itu lagi, bukan selalu aku bertentang mata dengan polis wanita yang cukup menawan lenggok rupanya tapi tak punya hati. Tidak ada sejenis perasaan pun yang terlintas di raut wajah itu. Kebal.

***

Jam merah di dinding itu aku tenung buat kesekian kalinya. Lagi lima minit. Oh, aku kesuntukan masa. Tidakkah si majikan ini tahu, pekerjanya yang satu ini bakal mengakhirkan zaman bujang tidak kurang enam hari saja lagi. Ada seribu satu macam perkara lain yang perlu aku bimbangkan berbanding tiga helai kertas ini. Berikanlah sedikit kelonggaran. Lagi pun, bukankah kerani-kerani kain senteng itu digaji untuk menghiraukan laporan-laporan seperti ini?

Aku mengalihkan semula perhatian ke skrin terang di depan muka itu. Perkataan-perkataan di situ sudah pun berenang seperti anak-anak katak. Ini tidak boleh jadi. Makin lama aku di sini, makin pusing kepala. Aku memejamkan mata, berdoa. Mana tahu kalau hati ini mungkin tenang dalam sedikit kegelapan, mungkin dikurniakan sedikit ilham. Dan lantas fikiran aku terjurus kepada Lara. Kalaulah kali ini aku lambat lagi, itu diibaratkan seperti sahaja menjemput musibah masuk ke ruang tamu. Enam hari saja lagi. Mampukah aku menahan dan meredakan amuk amarahnya dalam masa enam hari?

Dalam kegelapan dan ketenangan yang samar-samar datang itu, tiba-tiba aku direnjatkan semula ke persekitaran nyata oleh bunyi-bunyian yang aku masih belum bersedia dengarkan tepat saat ini. Bunyi-bunyian itu memang dari dia. Memang aku sendiri yang khaskan untuk dia. Supaya aku boleh bezakan panggilan dari dia. Supaya aku boleh pastikan panggilan darinya berjawab, walau pada waktu apa pun dia perlu padaku. Tapi senja ini berat betul hati aku untuk menurut tabiat lama yang selalunya menjawab sebelum deringan ketiga.

"Hello?"

"Awak kat mana?"

"Pejabat," jawabku pendek sambil menahan nafas, mempersiapkan diri untuk langsung diterjah kata-kata.

"Oh. Baguslah awak tak gerak lagi. Tolong jemput saya. Boleh?"

"Ha?" Langsung suara aku terkejut sendiri mendengarkan balasan yang acuh tak acuh sahaja itu, "Awak kat mana ni? Awak tak sampai lagi kat kedai kek tu?"

"Tak... Saya dekat kawasan bulatan M, dekat dengan menara Z. Saya ada surprise untuk awak ni. Datanglah, okey?"

"Okey. Dalam empat puluh lima minit sampailah saya."

***

"Itu sahaja, inspektor. Saya bergegas ke sini dan telefon dia, tanyakan dia di mana. Dia suruh saya naik rooftop menara X. Mula-mula saya pelik juga, sebab sebelum itu katanya menara Z. Tapi sebab dia cakap ada kejutan, jadi saya ikutkan sahaja," aku melabuhkan punggung di atas simen keras itu sambil memegang kepala. Sedari tadi, habis semua keringatku diperah untuk meyakinkan hati aku sendiri bahawa ini semua hanya mimpi semata. Bila-bila masa sahaja aku akan terbangun di pejabat dan menyambut panggilan Lara yang marah-marah kerana aku lambat lagi. Tapi kebenaran makin lama makin menghimpit ruang sesak ini dan kepalaku jadi berat. Tanda-tanda bahawa aku akan bangun dari tidur pun menghilang sedikit demi sedikit.

"Dia tak ada tinggalkan pesanan atau cakap apa-apa semasa awak telefon dia?"

"Tak ada. Bila saya sampai di bumbung, saya telefon dia lagi. Saya nampak dia ada di menara bertentangan, menara Z itu. Dia campakkan cincin tunangan kami di depan mata saya dan meminta saya nyanyikan satu lagu kegemarannya."

"Dan...?"

"Dan saya bantah! Saya suruh dia turun tapi dia tak mahu. The next thing I knew she..." suaraku tenggelam di halkum. Aku menelan air liur dan menarik nafas panjang. Wajah wanita polis yang masih membatu denganku itu aku tatap lama-lama, "Please, puan. Saya sudah terangkan semuanya. Saya tak mahu di sini lagi. Saya mahu jumpa dia."

"Awak hanya perlu menjawab beberapa soalan saja lagi," dia membalas tegas lalu terus melompat pada soalan yang lain, "Ke mana sebenarnya hala tuju kamu berdua yang sebenar? Kedai kek?"

Aku melepaskan satu keluhan yang berat dan membuat keputusan untuk memberikan jawapan selaju mungkin. Itu saja pilihan yang ada dan mungkin itu lebih baik buatku, "Kami perlu pilih kek untuk majlis per..." tapi suaraku masih timbul tenggelam di halkum. Pandanganku yang tadinya sudah sedikit jelas kini kekaburan semula, "...majlis perkahwinan kami minggu depan."

"Saya difahamkan Encik Rizal dan Cik Lara akan berkahwin enam hari saja lagi. Kamu berdua tentu sangat rapat antara satu sama lain. Hubungan kamu ada masalah?"

"Tidak," jawabku pasti. Tapi beberapa saat kemudian aku sendiri tidak pasti bahawa aku pasti. Lara menjadikan kesemua yang aku tahu, yakin dan percaya kepada sesuatu yang goyah. Aku tidak mahu dilihat sebagai lelaki bodoh lalu aku diamkan saja, tapi dari ekor mata yang masih dibanjiri titis-titis air ini, aku dapat menangkap sedikit perubahan di air muka polis itu. Kenapa?

"Cik Lara seperti menghadapi kes kemurungan yang serius. Awak tahu apa mungkin puncanya? Kerjaya? Keluarga?"

"Setahu saya, tak ada. Hubungan dia dengan keluarga seperti biasa. Dan dia baru sahaja buka satu galeri seni di Jalan G. Itu memang impian dia sejak kecil. Jadi saya rasa dia tak ada masalah dari segi itu."

Polis wanita itu tunduk khusyuk mencatat sesuatu ke dalam buku kecilnya. Sanggulnya teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan mengikut rentak tulisannya. Aku membisu menunggukan soalan seterusnya. Seminit, dua minit berlalu. Seorang pegawai polis lain lalu di sebelah kami dan memberikan salam hormat kepada polis wanita itu. Mungkin pangkatnya lebih rendah. Dia memandang ke arahku sebentar dan melemparkan satu senyuman tawar. Aku merenung hadiah simpati dari matanya dalam-dalam sebelum memutuskan bahawa aku benci simpati itu. Lebih elok muka batu polis wanita ini daripada senyum simpati itu. Aku terasa begitu bodoh.

"Baiklah Encik Rizal, kita sudah selesai di sini," kata-kata polis wanita itu membuatkan aku bingkas bangun dan dunia aku terus terasa berpusing. Hampir saja aku tersembam mencium anak tangga di depanku.

"Awak tak apa-apa? Awak pasti awak mahu lihat dia sekarang?"

"Saya mahu lihat dia sekarang dan awak tak boleh halang saya lagi. Saya dah jawab semua soalan awak, kan? Dah hampir setengah jam dia lompat dari atas sana dan saya masih tak tau keadaan dia!" Hati aku mulai sebal dengan kerenah formaliti ini semua. Aku tunangannya, takkanlah itu pun berbatas lagi? Atau ada lagi cerita yang aku tak tau? Dan hidungku mula terbau agenda-agenda lain di sebalik penahanan ini. Perasaan aku tiba-tiba jadi kebas. Seperti aku tidak peduli lagi apa terjadi pada Lara. Soalan-soalan tadi membuatkan seluruh deriaku tumpul. Apa yang aku mahu sekarang hanyalah jawapan.

"Baiklah. Saya memang tak akan halang awak lagi. Cuma jangan terlalu berharap Encik Rizal. Tunang awak tu lompat dari tingkat dua puluh, bukan tingkat dua. Kalau awak ada apa-apa maklumat tambahan, hubungi saya di balai polis cawangan B. Nama saya Munira." wanita itu mengangguk sedikit sebelum membenarkan aku terus melintas turun dari ruang sempit tangga itu. Aku melangkah perlahan-lahan. Perlarian yang terhenti setengah jam tadi terasa begitu janggal untuk diteruskan semula.

"Encik Rizal!" panggil satu suara di belakangku antara dengar dan tidak. Aku menoleh, sedia mendengar, "Saya hanya mahu beri amaran. Sebab saya rasa, sudah cukup kejutan untuk awak malam ini. Mungkin awak tidak cukup kenal dengan tunangan awak tu. Ada seorang lelaki lain bersamanya sekarang. Dia kata..."

Aku tidak sempat mendengar rangkap akhir kata-kata perempuan itu. Perasaan yang hampir kebas tadi terus datang semula dua kali ganda hebatnya. Kaki aku bergerak sendiri. Saki-baki tangga yang ada hanya berlalu seperti angin, tak terasa. Sesampainya aku di anak tangga paling bawah sekali, pintu penghadangnya sudah pun terbuka ditunggu oleh seorang lagi pegawai polis.

Angin malam menyerbu menjemput aku dengan kasar. Cahaya bulan yang memang tidak malu-malu dari tadi memperlihatkan keramaian penonton-penonton cerita aku malam ini. Aku mula menolak tanpa memperdulikan yang besar, kecil, tua, muda. Mereka hanya penonton sedangkan aku yang mangsa. Ya, aku mangsa. Lara bukan mangsa, dia penggubal cerita ini. Dia tahu segalanya, tapi aku yang tak tahu apa-apa. Makin hampir tubuh badanku diheret pada lintasan kuning polis yang menahan penonton-penonton ini, makin kuat aku menolak mereka. Sehinggalah lintasan kuning itu pun aku terjah sahaja.

"Encik, encik nak ke mana? Ini crime scene. Awak tak boleh masuk sesuka hati," satu rangka yang tegap berpakaian serba biru tua menghalang jalan dan pandanganku kepada Lara. Aku cuba menolak tetapi tubuh itu sedikit pun tidak berganjak.

"Saya tunangan gadis itu!" aku menghamburkan kata-kata sambil cuba lagi menolak tubuh itu untuk maju. Wajah tuan punya tubuh itu kehairanan mendengarkan bicaraku, "Kalau kamu tunangan gadis itu, maka siapa lelaki yang bersamanya sekarang?" soalnya sambil menginjak ke tepi, membuka pandanganku kepada Lara.

Tubuh kecil dan baju putih yang dikenakannya itu dihiasi tompok-tompok merah. Separuh daripada muka yang sudah bertahun ku kenal itu hancur. Tangan dan kaki halus miliknya terpusing ke semua arah yang bersalahan. Dan pandangan mata coklat itu lumpuh. Namun bukan itu semua yang membuatkan aku hilang fikiran. Lantas yang menghilangkan kewarasanku adalah kebenaran yang turun seperti wahyu. Yang menjadi jawapan mungkin bagi semua persoalan terdalam milikku. Jawapan itu hadir dalam bentuk wajah yang memang sudah lama mencabul amarah. Dan menguji.

"Arman!!!"

Thursday, April 10, 2008

Terbang

Aku meniti laluan kecil itu dengan langkah yang bogel. Memang niatku untuk berkaki ayam sahaja. Aku fikir selalunya memang mereka semua pun tidak berkasut. Aku pun tidak pasti. Aku tidak pula pernah melihat dengan mata kepalaku sendiri. Hanya cerita khabar-khabar angin sahaja yang biasa hinggap di cuping telingaku. Tapi aku yakin kalau kaki kecilku ini tidak beralas, mungkin injak langkahku akan lebih tepat. Atau lebih sedar. Dan ternyata, dingin batu-batu kecil di sepanjang laluan ini seperti mengingatkan aku bahawa ini bukan angan-angan lagi. Saat ini, apa yang bakal aku lakukan terasa begitu benar. Sampaikan langkah aku jadi makin berat. Mungkinkah aku masih belum sedia?

Ah! Persetankan keraguan. Aku begitu pasti aku sudah lebih dari sedia. Perancangan aku yang cukup teliti ini tidak akan tersia. Hampir setiap titik pusing dalam rancangan ini sudah terlaksana. Buktinya, kehadiran aku tanpa berkasut pun adalah sebahagian dari rancangan ini. Aku tahu, tiga hari mana mungkin cukup untuk aku bersedia berhadapan denganya. Hatta, kalau diberikan semua masa yang ada pun aku rasa belum tentu cukup untuk aku bersedia berhadapan dengannya. Tapi tiga hari sudah cukup benar untuk membuatkan aku berasa separa tenang. Walaupun degupan jantungku tidak pernah bergodak laju seperti ini, tapi fikiranku kosong dan pandanganku jelas. Aku perlu lakukan ini. Pertemuan kami tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Aku menutup mata dan cuba merasakan angin malam menampar pipi. Kosong. Sunyi. Malam yang aku pilih ini begitu luar biasa tenangnya. Encik Bulan yang baru sahaja kelihatan pun seperti ikut tertidur. Hanya sejalur cahaya sahaja yang dipinjamkan buatku. Itupun aku sudah cukup bersyukur. Cahaya itu memungkinkan aku melihat di kejauhan di bawahku. Jalan di bawah itu jalan utama. Selalunya kenderaan memang tidak pernah putus di situ, apatah lagi pejalan-pejalan kaki. Ada sahaja kehadiran mereka bertali arus macam air. Tapi ketenangan luar biasa ini seperti telah berjangkit ke bahagian dunia di bawah itu. Aku hampir terhibur melihatkan mereka yang tidak ada.

Tiba-tiba sahaja aku mengambil keputusan bahawa pertemuan itu pasti berlaku di sini, di sudut ini. Bukan sudut yang bertentangan, yang melihat ke jalan belakang seperti yang sudah aku notakan dalam rancangan. Ini kali pertama aku membelakangkan rancangan rapi tiga hari itu. Tidak mengapa. Pada tahap ini, sedikit lencongan dari rancangan awal sudah tidak akan mengubah hasilnya nanti. Di sudut mana pun bumbung ini, pertemuan itu tentu sekali akan berlaku. Aku cuma perlu mengalihkan destinasi watak dungu cerita ini ke tempat yang lain. Mungkin ke bangunan di seberang jalan itu? Oh, sudah tentu ke bangunan itu. Ia cukup sempurna.

Selalu dalam angan-anganku, aku berdiri sama tinggi dengan watak dungu itu, bertentangan mata. Tetapi, bumbung di hadapanku sekarang ini sedikit rendah dari tempat aku berdiri. Aku boleh melihat kesemua penjuru empat seginya. Entah kenapa aku rasakan ini lebih baik dari angan-angan itu. Si dungu itu akan memandang aku lebih tinggi. Biar dia tahu letak duduk dirinya di mataku. Nanti tentu sahaja dia akan dapat melihat secara langsung pertemuan julungku ini. Seakan-akan dia menjadi penonton kelas pertama. Satu-satunya penonton kelas pertama yang memang aku sudah tempahkan kerusi di lereng paling depan pentas.

Aku melabuhkan punggung di bucu laluan itu, menunggukan waktu. Sayup-sayup kedengaran suara kucing bercakaran dan anak kecil berteriakan. Lazimnya, itu gangguan bunyi harian yang tidak perlu aku endahkan. Tapi malam ini bukan malam kebiasaan aku, maka bunyi-bunyian itu membuatkan aku terpegun dan fikiranku serta-merta melayang jauh. Aku meraba-raba di dalam kotak memori, cuba mencari kehadiran bunyi lain yang tidak pernah aku pedulikan sebelum ini. Beribu macam bunyian singgah di telingaku sebentar, dipancarkan oleh memori, tetapi yang paling jelas hanyalah suaranya. Suaranya, memanggil-manggil aku untuk mengaturkan pertemuan ini. Suaranya, menenggelamkan sebarang bunyi lain. Suara si dungu pun turut hilang.

Dalam keasyikan aku yang dibuai anganan itu, tiba-tiba satu bunyian lain yang keras dan pejal, menerjah malam dan mengheret aku ke dunia semula. Aku memandang telefon di tanganku, tidak percaya. Si dungu tepat pada waktunya? Dalam bertahun bersama, akhirnya malam ini yang jadi pilihannya untuk menepati waktu pilihan aku? Ironi.

“Awak kat mana?”

“Rooftop, menara X. Datanglah.”

***

Aku bingkas bangun apabila sahaja kelibat si dungu melewati pintu ke bumbung itu. Dari jauh aku hanya melihat dia berpusing-pusing kebingungan dan sekali lagi memegang telefonnya.

“Tak ada pun.”

“Cuba tengok depan.”

“Eh, awak kata menara X tadi. Kenapa awak ada kat situ pulak? Kenapa awak berdiri dekat sangat dengan hujung tu? Bahayalah!”

“Memang saya nak awak pergi menara X pun”

“Ha? Untuk apa?”

“Supaya awak boleh tengok saya.”

“Untuk apa? Awak nak buat apa?”

“Saya sedang pegang cincin tunangan kita.”

“Awak suruh saya naik menara tinggi-tinggi ni semata-mata nak tengok awak pegang cincin tu? Kenapa dengan awak ni?”

“Saya nak awak tengok saya buat ini,” aku merapatkan cincin itu ke bibir dan mengucupnya sekali. Wajah si dungu yang keliru itu aku tenung dalam-dalam, mahu melihatkan reaksinya. Lantas dengan upaya mana yang masih ada, aku melemparkan cincin itu ke bawah. Dalam sekejap masa, emas putih itu terus hilang. Bunyi dentingnya melanggar batu jalan pun tidak kedengaran. Aku tersenyum puas.

“Sayang! Kenapa awak buang cincin tu? Awak dah gila ke? Apa yang tak kena dengan awak ni?”

“Awak ingat tak lagu Elang yang saya selalu nyanyikan dulu?”

“Kenapalah awak tanya soalan pelik-pelik ni? Saya tanya, awak tak jawab pun!” nada suara si dungu makin lama makin meninggi. Jarang sekali aku ada peluang mendengarkan dia marah-marah begini. Dia sangat sabar. Terlalu sabar.

“Boleh awak nyanyikan lagu tu untuk saya sekarang?”

“Tak nak! Saya takkan ikut cakap-cakap gila awak ni lagi. Saya nak turun sekarang. Awak pun kena turun! Kita kena carik cincin tu.”

“Tapi sebelum awak turun, awak kena lihat ini. Mungkin ini kali pertama dan terakhir awak dapat lihat saya berbuat begini,” lantas aku mencampakkan terus telefon bimbit di tanganku dan seperti cincin tadi, sekejap sahaja sudah hilang bayangnya.

Aku menutup mata dan mendepangkan tangan. Malam yang tadinya tenang sudah dilintasi angin sepoi-sepoi. Sekarang, keadaan ini betul-betul seperti dalam anganan dan rancanganku. Pentas aku jadi nyata dan penonton utamaku sudah sedia. Jantung aku yang bergelodak sedari tadi sudah berdetak seperti biasa dan fikiranku langsung kosong. Dengan senyuman terakhir, aku melontarkan badanku ke depan. Saat batu konkrit yang menampung berat badanku itu terus hilang, aku terasa seperti ada satu sentakan maha hebat yang menjunamkan aku ke muka dunia. Laju. Makin hilang ketinggian aku melayang, makin hilang beban yang sudah lama menghempap hatiku ini. Aku rasa bebas. Percuma. Seperti burung dan rama-rama. Terbang.

Bunyi terakhir yang aku dengar adalah jeritan si dungu, tapi itu pun tidak mungkin menghentikan aku sekarang. Kerana kali ini, aku betul-betul akan bertemu dengannya.

“Salam perkenalan Tukang Pengambil Nyawa. Ini pertemuan kita.”

***

Aku ingin terbang tinggi
Seperti elang
Melewati siang malam
Menghembus awan

Ini tangan ku untuk kau genggam
Ini tubuh ku untuk kau peluk
Ini bibir ku untuk kau cium
Tapi tak bisa kau miliki
Aku

Tak usah kau terus tangisi
Kepergian ku
Air mata tak kan memanggilku
Untuk kembali

Aku adalah mimpi-mimpi
Sedang melintasi
Sang perawan yang bermain
Dengan perasaan

Aku adalah mimpi-mimpi
Tiada arti
Aku ingin terbang tinggi
Seperti elang

Elang by Dewa 19